HIBURAN

Nash selesai jalani prosedur jantung, dijangka pulih dalam 2 minggu

KUALA LUMPUR – Penyanyi rock legenda, Datuk Nashrudin Elias atau Nash, 67, yang dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang semalam akibat serangan jantung dibenarkan pulang hari ini selepas menjalani prosedur memasukkan sten dan belon.

Bekas vokalis kumpulan Lefthanded itu berkata, keadaannya stabil namun perlu menjalani tempoh pemantauan dan pemulihan selama dua minggu sebelum dapat aktif seperti biasa.

Menurutnya, keadaannya kini selamat setelah menjalani prosedur memasukkan sten dan belon pada jantung.

“Di hospital ini memang ramai pakar. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya.

Mengimbas detik sebelum mengalami serangan jantung, beliau pada awalnya menyangka hanya mengalami masalah kesihatan biasa sebelum simptom dirasai semakin serius.

Selepas beberapa hari mengalami masalah serupa, penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu akhirnya memutuskan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Sebenarnya bukan sesak nafas, tetapi saya rasa seperti dicucuk pada bahagian jantung. Pada mulanya sekali-sekala, tetapi lama-kelamaan semakin kerap.

“Sudah dua hingga tiga hari saya alami keadaan itu. Jadi, semalam, saya ambil keputusan untuk terus ke hospital.

“Menantu saya yang bawa dan pada hari sama juga saya jalani prosedur memasukkan sten dan belon. Semua prosedur selesai kira-kira dua jam,” katanya memetik laporan BH Online.

Berkongsi keadaan terkini, beliau mengakui masih berasa lemah dan perlu banyak berehat sepanjang tempoh pemulihan.

“Keadaan sekarang, badan memang terasa sedikit lemah dan mudah mengantuk. Kadang-kadang rasa seperti melayang, terutama jika berdiri lama, jadi memang perlu duduk dan berehat,” katanya.

Semalam, Presiden Konsortium Industri Rakaman Music Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid berkongsi keadaan Nash yang selesai menjalani pembedahan selepas menerima maklumat daripada anak penyanyi berkenaan, Shameer.

Menerusi hantaran di Facebook, Ayob berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 80 peratus saluran jantung penyanyi itu tersumbat dan memerlukan tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button