BERITA SEMASA

Keluarga reda, harap organ Allahyarham Muhammad Syukri selamatkan nyawa insan lain

KUALA TERENGGANU – Keluarga Allahyarham Muhammad Syukri Bazli yang mendermakan beberapa organ selepas meninggal dunia berharap keputusan anaknya itu dapat memberi peluang hidup baharu kepada mereka yang memerlukan.

Bapa saudara arwah, Azlan Yahya, 58, berkata, keputusan untuk mendermakan organ itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada bapa, ibu serta isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32.

derma organ
Allahyarham Muhammad Syukri meninggal dunia pada usia 31 tahun akibat serangan jantung. – Foto Facebook Ahmad Nazrul

Menurutnya, pendermaan tersebut dianggap sebagai amal bakti terakhir Muhammad Syukri, 31, yang sememangnya dikenali sebagai seorang yang penyayang, sabar dan sentiasa ringan tulang membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

“Keputusan menderma organ dibuat memandangkan arwah masih muda dan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain.

“Arwah sebelum ini tidak pernah menyebut hasrat untuk menderma organ, namun mengenali karakter dan sifatnya yang sentiasa rela membantu serta berkhidmat untuk orang lain, keluarga merasakan keputusan ini adalah tepat dan boleh memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya memetik laporan Bernama.

BACA JUGA:

Lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung derma organ, bantu selamatkan tiga pesakit

Azlan berkata, Muhammad Syukri yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kuala Berang, Hulu Terengganu, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira pukul 12.06 tengah malam semalam.

Katanya, jenazah kemudian dibawa ke bilik bedah sekitar pukul 5 pagi bagi proses penuaian organ.

Beliau berkata, menurut pihak hospital, organ yang diambil untuk didermakan termasuk buah pinggang, hati, tulang serta kulit bagi membantu pesakit yang mengalami kecederaan melecur serius atau menjalani pembedahan rekonstruktif.

kebumi
Jenazah Muhammad Syukri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peroh, Ajil di Hulu Terengganu malam tadi.

Terdahulu semalam tular di media sosial apabila warga HSNZ memberikan penghormatan Walk of Honour kepada Allahyarham Muhammad Syukri yang mendermakan organ untuk pesakit lain.

Bahagian Jabatan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui laman sosial Facebook turut memuat naik hantaran penghargaan terima kasih kepada penderma, keluarga penderma dan semua petugas kesihatan yang terlibat dalam menjayakan kerja-kerja pemindahan organ berkenaan.

Jenazah bapa kepada tiga cahaya mata berusia antara setahun hingga enam tahun itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peroh, Ajil di Hulu Terengganu pada pukul 9.30 malam tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button