BERITA SEMASA

Terkejut kenaikan bil elektrik, PHM pesan semak penggunaan kWj

KUALA LUMPUR – Orang ramai disaran supaya tidak terus panik melihat kenaikan jumlah bil elektrik, sebaliknya menyemak terlebih dahulu penggunaan tenaga dalam unit kilowatt-jam (kWj) bagi mengenal pasti punca peningkatan berkenaan.

Pesanan itu dikongsikan Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook susulan kebimbangan orang ramai yang mendakwa bil elektrik bulan ini meningkat walaupun merasakan penggunaan elektrik mereka tidak banyak berubah.

Menurut PHM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini menjelaskan bahawa Automatic Fuel Adjustment (AFA) bukan punca kenaikan mendadak bil elektrik, manakala pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah sebulan dilindungi daripada caj AFA.

tnb
GAMBAR HIASAN

PHM berkata, penggunaan elektrik yang dirasakan sama sebenarnya boleh berubah tanpa disedari, terutama ketika cuaca panas apabila penghawa dingin digunakan lebih lama.

“Cuti sekolah pula lebih ramai berada di rumah. TV, komputer, pemanas air, peti sejuk, mesin basuh dan peralatan lain bekerja lebih lama.

“Tambah sedikit setiap hari, hujung bulan boleh jadi banyak,” menurut perkongsian itu.

Sehubungan itu, PHM menyarankan pengguna memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB dan bagi pengguna yang mempunyai meter pintar, menyemak penggunaan dengan lebih kerap bagi mengenal pasti hari atau tempoh yang menunjukkan peningkatan mendadak.

Penggunaan penghawa dingin juga antara aspek yang boleh diberi perhatian dengan menetapkan suhu sekitar 24 hingga 26 darjah Celsius, selain memastikan pintu dan tingkap ditutup serta membersihkan penapis secara berkala.

Pengguna turut disaran memberi perhatian kepada peralatan yang menggunakan elektrik dalam tempoh lama seperti pemanas air, mesin pengering, pam air dan peralatan berkuasa tinggi lain kerana penggunaan berjam-jam boleh memberi kesan ketara apabila dikumpulkan sepanjang bulan.

Bagi yang bersesuaian, PHM turut mencadangkan pengguna mempertimbangkan pelan Time of Use (TOU) dengan mengalihkan penggunaan elektrik yang boleh dijadualkan ke waktu luar puncak apabila kadar adalah lebih rendah.

Pengguna juga dinasihatkan melihat label kecekapan tenaga ketika membeli peralatan elektrik baharu dan mengutamakan produk bertaraf empat atau lima bintang bagi membantu mengurangkan penggunaan tenaga dalam jangka panjang.

Bagi rumah dengan penggunaan elektrik yang tinggi, pemasangan sistem solar turut boleh dipertimbangkan, namun pengguna disaran membuat pengiraan terlebih dahulu bagi menentukan kesesuaian serta potensi penjimatan berdasarkan corak penggunaan masing-masing.

PHM menegaskan, pengguna tidak seharusnya hanya membandingkan jumlah dalam ringgit, sebaliknya turut membandingkan jumlah kWj yang digunakan.

“Kalau bulan lepas 350 kWj tetapi bulan ini 500 kWj, penggunaan memang sudah berubah.

“Tetapi kalau kWj hampir sama, tiba-tiba jumlah bil jauh lebih tinggi, semak pecahan bil dengan lebih teliti. Kalau masih nampak pelik, hubungi TNB untuk penjelasan,” menurut PHM.

PHM berkata, perkara paling mudah yang boleh dikawal pengguna ialah cara elektrik digunakan, termasuk mengurangkan pembaziran yang tidak disedari.

“Mulakan dengan satu strategi paling mudah: Aircond 24 hingga 26 darjah Celsius. Pantau kWj. Kurangkan pembaziran yang kita tak sedar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button