BERITA SEMASA

Pejabat Ketua Menteri nafi dokumen pembubaran DUN Melaka ditandatangani

MELAKA – Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan dakwaan tular bahawa Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menandatangani dokumen pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.

Ketua Komunikasi Media Ketua Menteri Melaka, NorHafizah Mohd Sati berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung pertemuan antara kedua-dua pemimpin seperti yang didakwa dalam mesej yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Setakat hari ini tidak dimaklumkan sebarang perjumpaan. Apa-apa kenyataan daripada Pejabat Ketua Menteri akan dimaklumkan segera.

“Segala yang tular tidak sahih sama sekali. Mohon sahabat-sahabat media tidak mempercayai sebarang info yang tular tanpa pengesahan Pejabat Ketua Menteri Melaka,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Terdahulu, tular dakwaan bahawa Mohd Ali dan Ab Rauf telah menandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka.

Dakwaan itu turut menyebut dokumen berkenaan ditandatangani kira-kira jam 10.30 pagi di Bilik Tamu, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala penggal semasa bermula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November 2021.

Mengikut peruntukan undang-undang, DUN boleh dibubarkan lebih awal dengan perkenan Yang Dipertua Negeri.

Sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, tempoh maksimum lima tahun bagi penggal semasa akan berakhir pada Disember 2026.

Selepas pembubaran DUN, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi memilih wakil rakyat bagi kesemua 28 kerusi.

Perkembangan berhubung tarikh pembubaran DUN dan PRN Melaka kini menjadi perhatian susulan tempoh penggal semasa yang semakin hampir berakhir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button