Melaka tidak ikut jejak Johor, Negeri Sembilan bubar DUN – Ab Rauf
MELAKA – Kerajaan negeri Melaka tidak mengikut jejak Johor dan Negeri Sembilan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, walaupun DUN boleh dibubarkan pada bila-bila masa, Melaka tidak perlu tergesa-gesa berbuat demikian kerana situasi di negeri itu berbeza dengan Johor dan Negeri Sembilan.
“Sebenarnya, suasana di Johor tidak sama dengan Melaka. Begitu juga suasana di Negeri Sembilan tidak sama dengan keperluan Melaka untuk membubarkan DUN dalam keadaan segera.
“Jadi, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa kita akan terus menjalankan urusan kerajaan bagi menyantuni rakyat sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian kepada pemberita selapas majlis doa selamat di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah sempena selesai menunaikan ibadah haji, malam tadi.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak tertekan dengan desakan supaya Melaka membubarkan DUN bagi memberi laluan PRN diadakan serentak dengan dua negeri berkenaan.
“Saya mempunyai perkiraan dan aturan yang perlu diselesaikan mengikut pentadbiran serta urusan kerajaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Kita tidak mahu mengikut rentak yang dimainkan oleh orang lain. Kita tidak akan menari mengikut muzik mereka. Rentak mereka, rentak mereka; rentak Melaka, rentak Melaka,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun berkata, sebagai negeri jiran, Melaka akan menghantar jentera untuk membantu kemenangan Barisan Nasional (BN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








