BERITA SEMASA

DBKL nafi dakwaan penguat kuasa dihalang bertindak terhadap premis warga asing

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya hampir 500 anggota penguat kuasanya tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap premis tertentu termasuk yang dikendalikan warga asing.

DBKL berkata, tiada sebarang arahan dikeluarkan yang menghalang anggota penguat kuasa daripada mengambil tindakan terhadap mana-mana kesalahan di bawah bidang kuasanya.

Menurut kenyataan itu, pembahagian tugas antara jabatan dan anggota penguat kuasa dilakukan bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut fungsi serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan, bukannya sebagai sekatan terhadap pelaksanaan tugas.

“Bagi kes yang melibatkan bidang kuasa agensi lain, DBKL akan mengambil tindakan dalam ruang kuasanya dan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DBKL turut berkata, tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan kesalahan yang dilakukan dan bukan berdasarkan individu atau pihak yang mengendalikan sesuatu premis.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan berkenaan akan membuat laporan polis berhubung hantaran yang tular bagi membolehkan perkara tersebut disiasat oleh pihak berkuasa.

Dalam masa sama, DBKL memandang serius sebarang dakwaan berkaitan salah laku atau arahan yang boleh menjejaskan tugas penguatkuasaan.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti khusus berhubung dakwaan tersebut boleh mengemukakannya kepada DBKL untuk diteliti,” menurut kenyataan itu lagi.

DBKL turut menegaskan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa pilih kasih serta berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button