Angka maut kebakaran feri di Palawan cecah 76 orang
MANILA – Sekurang-kurangnya 76 orang maut manakala 13 lagi masih hilang selepas sebuah feri penumpang terbakar ketika dalam perjalanan menuju Coron, Palawan, Filipina, Rabu lalu.
Menurut laporan berita antarabangsa, 43 daripada 132 individu yang berada di atas kapal MV June Aster berjaya diselamatkan, manakala pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa yang belum ditemui.
Kebakaran berlaku ketika feri itu menghampiri penghujung perjalanan lebih 20 jam dari Manila ke Coron.
Beberapa penumpang mendakwa terdengar dua letupan sebelum api merebak dengan pantas, menyebabkan sebahagian penumpang terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Pasukan penyelamat sebelum ini berdepan kesukaran memasuki kapal akibat asap tebal dan suhu tinggi.
Selepas keadaan lebih selamat, puluhan mayat ditemukan terutama di bahagian penginapan kelas ekonomi yang mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran.
Kapal berkenaan dilaporkan turut membawa kenderaan dan barangan kargo, termasuk lima motosikal, sebuah kenderaan elektrik, forklift serta sebuah pikap.
Punca kebakaran masih disiasat pihak berkuasa, termasuk dakwaan berlaku letupan dari ruang kargo.
Pihak berkuasa Filipina turut menjalankan siasatan bagi menentukan punca kebakaran serta sama ada prosedur kecemasan dan keselamatan penumpang dipatuhi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








