Liputan Internet Malaysia capai 99.75 peratus
KUALA LUMPUR – Liputan Internet di kawasan berpenduduk di Malaysia mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai lalu hasil usaha berterusan memperkukuh infrastruktur digital negara menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu menjadi antara asas penting dalam usaha Malaysia membina ekonomi digital yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampu menyokong keperluan masa depan.
Beliau berkata, Malaysia turut meneruskan peluasan rangkaian 5G selain menambah kapasiti dan daya tahan infrastruktur menerusi kabel dasar laut SALAM.
āMelalui JENDELA, kita telah memperkukuh asas ekonomi digital dengan liputan Internet di kawasan berpenduduk mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai 2026.
āPelaksanaan 5G yang berterusan serta kabel dasar laut SALAM turut menambah kapasiti dan daya tahan,ā katanya ketika berucap pada majlis perasmian M360 ASEAN 2026 di Hotel Grand Hyatt, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, Kementerian Komunikasi kini sedang membangunkan Dasar Infrastruktur Digital Negara (DIDN) bagi menyediakan kerangka jangka panjang yang lebih tersusun untuk pembangunan infrastruktur digital.
Katanya, infrastruktur digital bukan sekadar soal menyediakan rangkaian, sebaliknya perlu membolehkan rakyat dan institusi melakukan lebih banyak perkara dengan teknologi.
“Sebagai contoh, kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Kesihatan menerusi PERSADA sedang memperkukuh kesalinghubungan di 150 hospital dan 2,488 fasiliti kesihatan awam.
Menurutnya, kemudahan itu menyokong pelaksanaan rekod perubatan elektronik, telekesihatan serta akses penjagaan kesihatan yang lebih cekap.
Dalam sektor pelancongan pula, Fahmi berkata, sambungan Internet yang boleh dipercayai di pintu masuk negara, laluan pengangkutan, kawasan pelancongan dan destinasi luar bandar turut membantu meningkatkan pengalaman pelawat sempena Visit Malaysia 2026.
Katanya, di peringkat komuniti, sebanyak 1,099 pusat NADI menyediakan akses kepada kemahiran digital, perkhidmatan serta peluang keusahawanan.
āIni ialah Malaysia MADANI dalam amalan: teknologi diterjemahkan kepada akses, peluang dan maruah,ā katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








