BERITA SEMASA

Dakwaan AS campur tangan: PKR Setiawangsa buat laporan polis 

KUALA LUMPUR – PKR Bahagian Setiawangsa membuat laporan polis berhubung dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan bagi menjatuhkan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Menurut Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan, laporan itu dibuat semalam selepas kenyataan Abdul Hadi dilaporkan beberapa portal berita pada 5 September susulan ucapan penggulungan Presiden PAS itu pada Muktamar PAS Ke-72 di Kota Bharu.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan amat serius kerana menyentuh aspek kedaulatan negara, keselamatan nasional, hubungan diplomatik antarabangsa serta integriti sistem demokrasi berparlimen.

“Sekiranya dakwaan tersebut benar, ia memerlukan siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa.

“Sekiranya ia tidak benar, kenyataan sedemikian juga berpotensi menimbulkan keresahan awam, mengelirukan rakyat serta menjejaskan kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Afdlin berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan menyeluruh terhadap kenyataan berkenaan.

Katanya, siasatan juga perlu meneliti sama ada terdapat sebarang unsur kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.

“PKR Setiawangsa berpandangan bahawa mana-mana individu yang membuat dakwaan serius melibatkan campur tangan kuasa asing dalam urusan politik negara mestilah bersedia memberikan keterangan dan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.

“Kita tidak boleh membiarkan dakwaan sebesar ini berlalu tanpa penelitian sewajarnya kerana ia menyentuh kepentingan negara dan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button