POLITIK

Pemilihan Parti Keadilan Rakyat Cabang Hulu Langat: Hanafi sokong larangan bahan kempen bercetak, tawar diri ketuai cabang

HULU LANGAT – Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Langat, Muhammad Hanafi Jalalludin menyatakan sokongan penuhnya terhadap arahan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang melarang penggunaan bahan kempen bercetak seperti kain rentang dan poster dalam pemilihan parti kali ini.

 

hulu langat
Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Langat, Muhammad Hanafi Jalalludin bersama calon – calon yang menawarkan diri pada pemilihan kali ini

Menurut beliau, langkah yang diambil JPP itu bukan sahaja bijak, malah mencerminkan kematangan politik dalaman yang perlu ditonjolkan dalam proses pemilihan.

“Saya bersetuju dan menyokong sepenuhnya arahan JPP kerana bahan bercetak ini akhirnya hanya menjadi satu bentuk pembaziran.

“Lebih penting, ia sering memberi gambaran seolah-olah berlaku peperangan dalaman dalam parti.

“Sedangkan, hakikatnya pemilihan itu hanyalah satu proses sihat dalam keluarga besar Keadilan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, pemilihan parti sepatutnya menjadi wadah yang menyatukan dan memperkukuhkan parti, bukan medan pertarungan yang menimbulkan ketegangan sesama anggota.

“Pemilihan itu patut dilihat seperti hubungan adik-beradik. Bersaing secara sihat, berkempen secara matang dan akhirnya kembali bersatu untuk memperkukuh keadilan demi rakyat,” tambahnya.

Dalam masa sama, Muhammad Hanafi turut mengumumkan pencalonannya sebagai Ketua Cabang PKR Hulu Langat bagi sesi 2025.

Menurutnya, Hulu Langat merupakan antara cabang paling penting dan strategik dalam usaha memperkuatkan parti, serta memperluas sokongan rakyat di peringkat akar umbi.

“Cabang ini perlu digerakkan dengan kepimpinan yang tersusun dan progresif. Pemilihan ini bukan sekadar tentang siapa yang menang, tetapi siapa yang benar-benar bersedia memimpin, menyusun dan menggerakkan Keadilan Hulu Langat ke tahap yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan komitmennya untuk menjadikan PkR Hulu Langat sebagai cabang yang profesional, responsif terhadap isu rakyat dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang dengan jentera yang mantap.

“Tema ‘Hulu Langat Maju Bersama’ menjadi panduan utama saya. Kita perlu memacu kemajuan, menjaga kebajikan dan menyatukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Ini perjuangan bersama, bukan peribadi,” jelasnya.

Hanafi turut menyeru semua anggota Keadilan Hulu Langat agar memberi sokongan terhadap visi yang dibawanya demi memastikan parti kekal relevan dan berjiwa rakyat di semua peringkat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button