LUAR NEGARA

Bayi perempuan tiga bulan kritikal didakwa dirogol, jiran ditahan

MAINPURI – Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan didakwa menjadi mangsa rogol oleh seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga jirannya di daerah Mainpuri, Uttar Pradesh, India.

Polis memaklumkan kejadian itu menyebabkan bayi berkenaan mengalami kecederaan serius dan kini menerima rawatan di Saifai Medical College, memetik laporan The Times of India.

Suspek dikenali sebagai Jetendra dan ditahan pada Rabu selepas polis melakukan serbuan di beberapa lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyiannya.

Menurut polis, kejadian berlaku pada lewat petang Selasa ketika bayi itu sedang berbaring di atas katil bayi di dalam rumah, manakala ibunya sedang memasak dan bapanya melakukan kerja-kerja rumah.

Suspek yang tinggal berhampiran rumah mangsa dan mengenali keluarga berkenaan didakwa masuk ke rumah sebelum bermain dengan bayi tersebut.

Dia kemudiannya didakwa membawa bayi itu keluar dari rumah.

Disebabkan suspek dikenali oleh keluarga mangsa, mereka tidak mengesyaki sebarang perkara buruk pada ketika itu, menurut polis.

Kira-kira setengah jam kemudian, suspek didakwa membawa bayi berkenaan kembali dan meletakkannya di atas katil sebelum meninggalkan rumah.

Bagaimanapun, apabila bayi itu terus menangis, ibunya menyedari terdapat pendarahan serius pada tubuh anaknya lalu meminta bantuan.

Keluarga berkenaan segera membawa bayi itu ke hospital daerah sebelum doktor merujuknya ke Saifai Medical College untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana keadaannya kritikal.

Susulan laporan yang dibuat bapa bayi tersebut, polis membuka kertas siasatan dan mendaftarkan laporan maklumat pertama (FIR) di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Suspek kemudian ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button