Sami dipenjara 15 tahun, sebat empat kali rogol pelajar dalam kebun sawit
BATU PAHAT – Seorang sami yang kononnya mahu membantu seorang pelajar mengubah nasib keluarga akhirnya menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merogol pelajar itu empat tahun lalu.
Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Pechimuthu Vethumalay, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh tahanan serta berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Tertuduh yang kebetulan menyambut hari lahirnya hari ini, dilaporkan melakukan perbuatan keji itu terhadap pelajar berkenaan di sebuah kebun sawit di Jalan Yong Peng–Labis, Yong Peng, kira-kira jam 3 petang pada 28 September 2021.
Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan tampil memberi keterangan manakala tertuduh memanggil empat saksi termasuk dirinya sendiri di peringkat pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Pechimuthu didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan mendekati keluarga mangsa dengan mendakwa dia mendapat “mimpi” yang mampu membantu keluarga itu keluar daripada kesusahan.
Walau bagaimanapun, dia kemudian membawa mangsa ke kebun sawit dengan alasan mahu melakukan upacara tertentu, sebelum merogol kanak-kanak tersebut.
Mangsa pulang ke rumah dan menceritakan kejadian kepada ibu bapanya sebelum laporan polis dibuat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








