MAHA 2026 catat 1.87 juta pengunjung, jualan hampir RM12 juta
SERDANG – Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini terus mendapat sambutan apabila merekodkan 1.87 juta pengunjung setakat semalam, dengan nilai jualan hampir RM12 juta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah berkenaan dijangka meningkat berikutan pelaksanaan sesi padanan perniagaan serta jualan berskala besar yang masih berlangsung sehingga pameran itu melabuhkan tirai.
Menurut beliau, sebanyak 375,000 kenderaan turut direkodkan memasuki kawasan pameran, menyebabkan pihak penganjur mengambil langkah menambah pengangkutan sokongan bagi memastikan pergerakan pengunjung antara lokasi lebih lancar.
“Kehadiran setakat ini amat memuaskan dan segala kesusahan atau ketidaksempurnaan itu memang kami akui ada. Kita cuba membantu sekadar yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN) dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran Ikan Sabah ke Semenanjung sempena MAHA 2026, di sini, semalam.
Mengulas mengenai isu caj sewaan buggy yang tular di media sosial, Mohamad menjelaskan perkhidmatan berbayar tertentu disediakan khusus untuk kegunaan syarikat korporat dan bukannya sebagai kemudahan pengangkutan kepada pengunjung awam.
Jelasnya, pengunjung awam pula disediakan kemudahan tram, bas dan buggy secara percuma, selain pihak penganjur menambah jumlah kenderaan sokongan itu bagi mengurangkan tempoh menunggu di lokasi tertentu.
MAHA 2026 berlangsung sehingga 6 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), dengan penyertaan kira-kira 2,000 pempamer dan sasaran lebih 4 juta pengunjung sepanjang penganjurannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








