BERITA SEMASA

MAHA tarik lima juta pengunjung, jadi ekspo terbesar di negara ini

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 berjaya menarik lima juta pelawat setakat jam 12 tengah hari tadi semalam, menjadikan pameran itu sebagai salah satu acara terbesar negara.

Diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) sejak 11 September lalu, MAHA 2024 akan melabuhkan tirainya hari ini. Seorang pengunjung bertuah yang menjadi pelawat ke lima juta menerima hadiah sebuah kereta Perodua Axia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA 2024 yang meraikan ulang tahun ke-100 telah mencatatkan jualan sebanyak RM41 juta. Beliau turut memaklumkan bahawa 139 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan nilai keseluruhan RM7.2 bilion telah dimeterai sepanjang pameran itu.

“Selain itu, Agrobank turut merekodkan potensi pembiayaan dan padanan perniagaan bernilai RM1.38 bilion sehingga semalam,” katanya di sini hari ini.

Mohamad juga menzahirkan rasa puas hati terhadap pencapaian luar biasa yang dicapai, terutama dalam peningkatan jualan produk pertanian seperti anak benih, anak pokok dan ternakan. Beliau melihat perkembangan ini sebagai petanda positif bahawa rakyat semakin berminat terhadap sektor pertanian dan lebih sedar tentang kepentingan keterjaminan makanan.

“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi ia mencerminkan bahawa MAHA terus menjadi acara utama negara yang berjaya menarik perhatian ramai,” katanya lagi.

Beliau menambah, pameran ini turut memainkan peranan penting sebagai platform untuk mendorong inovasi, pendidikan dan peluang perniagaan, di samping mempersiapkan sektor pertanian yang lebih kompetitif, mampan, dan bersedia untuk masa hadapan.

“Saya yakin MAHA 2024 akan memberi kesan positif kepada petani dan pengusaha agromakanan tempatan, terutama melalui pendedahan kepada inovasi dan teknologi terkini yang mampu meningkatkan hasil pertanian,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button