JENAYAH & MAHKAMAH

Empat sahabat didenda RM2,900 setiap seorang kerana rusuh guna parang

SHAH ALAM – Empat sahabat didenda RM2,900 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengambil bahagian dalam rusuhan menggunakan parang yang tular di media sosial bulan lalu.

Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin menjatuhkan hukuman itu terhadap R Karthik, 33; R J Omar Shankar, 39; Pandian, 25; dan C S Visvaraj, 24.

Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda. Kesemua mereka membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja mengambil bahagian dalam rusuhan menggunakan parang di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Taman Sri Muda, kira-kira jam 11 pagi pada 13 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuan mitigasi, peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi berkata Karthik dan Omar bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

“Karthik datang membantu Omar yang cedera dan pada hari ini hadir dengan memakai anduh di tangan. Mereka adalah mangsa dan hanya mempertahankan diri,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Sementara itu, peguam M Partiben berkata Pandian dan Visvaraj juga merupakan mangsa dalam kejadian berkenaan dan kedua-duanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, isteri Visvaraj kini menunggu masa untuk bersalin.

“Mereka sedar kesalahan dan memohon maaf. Mereka merayu denda minimum kerana keluarga hanya mampu menyediakan RM2,000,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan parang oleh dua lelaki dalam pergaduhan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Taman Sri Muda.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada tangan kiri dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button