LUAR NEGARA

China henti operasi menyelamat, bimbang banjir kedua

KATHMANDU – China menghentikan sementara operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sempadan Tibet-Nepal susulan kebimbangan berlaku banjir kilat kedua akibat limpahan sebuah tasik empangan semula jadi.

Menurut media kerajaan, CCTV, semua pasukan penyelamat diarahkan berundur sejauh satu kilometer dan menunggu arahan lanjut selepas tasik berkenaan mula melimpah.

Tasik itu terbentuk di Sungai Bhote Koshi selepas banjir kilat melanda kawasan berkenaan pada Rabu, apabila timbunan lumpur, batu dan sampah menyekat aliran sungai.

China memberi amaran tasik berkenaan berpotensi melimpah dan mencetuskan satu lagi banjir dalam tempoh 72 jam.

Banjir yang mengalir dari Tibet ke daerah Rasuwa di Nepal itu sebelum ini menghanyutkan puluhan bangunan, jambatan dan benteng sungai, selain meranapkan kawasan penempatan di sepanjang sungai.

China memaklumkan tasik tersebut mengandungi kira-kira dua juta meter padu air pada pagi Khamis dan dijangka menerima tambahan tiga juta meter padu dalam tempoh tiga hari.

“Ia sudah mula melimpah dan terdapat kemungkinan tinggi berlaku banjir sehingga Sabtu sekiranya empangan semula jadi itu pecah,” lapor CCTV.

Dalam perkembangan sama, operasi mencari mangsa di sepanjang sistem sungai Bhote Koshi-Trishuli-Narayani yang masuk hari ketiga kini turut berdepan ancaman banjir kedua.

Setakat pukul 10.30 pagi hari ini, sekurang-kurangnya 469 orang dilaporkan terbunuh manakala 667 lagi masih hilang, termasuk 127 rakyat Nepal.

Di Tibet pula, media kerajaan melaporkan 558 orang masih hilang setakat petang Khamis, termasuk 260 warga asing, selain tiga kematian direkodkan.

Angka korban dijangka berubah berikutan pihak berkuasa China tidak mengeluarkan kemas kini secara berkala.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button