Struktur ‘human graphic’ Hari Kebangsaan 2026 selamat, ada toleransi pergerakan – Fahmi
PUTRAJAYA – Struktur teres yang digunakan bagi persembahan grafik manusia (human graphic) sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 disahkan selamat meskipun kelihatan sedikit bergoyang ketika raptai berlangsung.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pergerakan itu berlaku kerana struktur berkenaan direka dengan elemen toleransi atau flex bagi menampung pergerakan peserta yang bergerak mengikut ritma persembahan.

Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Perbadanan Putrajaya (PPJ) yang menyediakan kemudahan berkenaan.
“Struktur itu mempunyai sedikit flex atau toleransi. Jika ia terlalu rigid, ia tidak sesuai kerana peserta human graphic bergerak mengikut ritma tertentu.
“Seperti jambatan yang memerlukan sedikit fleksibiliti, struktur ini juga direka dengan mengambil kira faktor tersebut. Alhamdulillah, ia selamat digunakan,” katanya selepas meninjau persiapan dan raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang menunjukkan struktur teres berkenaan kelihatan bergoyang ketika menempatkan peserta persembahan grafik manusia, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai aspek keselamatan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya tetap meminta perkara itu diteliti bagi memastikan keadaan struktur tidak menjejaskan kelancaran persembahan serta keselamatan pelajar yang terlibat.
“Struktur sama telah digunakan buat kali ketiga dan setakat ini tidak pernah menimbulkan sebarang masalah,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan persepsi bahawa struktur berkenaan kelihatan tidak berada di tengah atau off-centre adalah disebabkan kedudukan bangunan PPJ dan laluan perarakan yang tidak berada pada paksi yang sama.
“Bangunan itu mempunyai sedikit perbezaan sudut berbanding jalan. Jadi dari sudut pandangan tertentu, ia akan kelihatan seolah-olah tidak berada di tengah,” katanya lagi.
Beliau berkata, urus setia telah diminta membuat beberapa pelarasan pada masa hadapan bagi mengurangkan persepsi bahawa struktur tersebut tidak simetri.
Menurutnya, situasi sama turut berlaku pada tahun lalu namun kurang ketara kerana jumlah peserta grafik manusia ketika itu lebih ramai.
“Tahun lalu jumlah peserta human graphic sekitar 2,000 orang, manakala tahun ini dikurangkan kepada 1,500 orang. Itu antara sebab mengapa ia kelihatan lebih ketara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







