BERITA SEMASA

17 rakyat Malaysia ikuti upacara keagamaan ke Gunung Kailash masih gagal dihubungi

KUALA LUMPUR – Seramai 17 rakyat Malaysia yang dalam perjalanan menuju ke Gunung Kailash, Tibet, China untuk melaksanakan upacara keagamaan masih gagal dihubungi lebih 24 jam selepas bencana banjir berlaku berhampiran sempadan Nepal-Tibet, kelmarin.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan keluarga selepas hubungan dengan kumpulan berkenaan terputus ketika mereka dilaporkan berada kira-kira dua kilometer dari Pusat Pemeriksaan Imigresen Nepal-Tibet.

R Logadashini berkata, empat ahli keluarganya iaitu bapanya, S Raman, 59; ibunya, M Neelavany, 54; bapa saudaranya, S Murukan, 60; dan ibu saudaranya, G Padmahwathi, 58, antara 17 rakyat Malaysia dalam kumpulan berkenaan.

Katanya, kumpulan itu diuruskan agensi pelancongan Fishtail Tours & Travels yang berpangkalan di Nepal dan tiba di negara berkenaan pada 23 Ogos lalu.

Mereka dijadual meneruskan perjalanan keagamaan sehingga 5 September ini.

“Perbualan secara langsung yang terakhir dengan kumpulan itu direkodkan pada pukul 8.18 pagi waktu Nepal semalam (10.33 pagi waktu Malaysia), apabila mereka dilaporkan berada kira-kira dua kilometer dari Pusat Pemeriksaan Imigresen Nepal-Tibet.

“Selepas itu, semua hubungan dengan kumpulan itu terputus. Kami cuba menghubungi agensi pelancongan tersebut dan Kedutaan Malaysia tetapi setakat ini, kami masih belum menerima sebarang maklumat,” katanya memetik laporan Bernama.

Logadashini berkata, mesej terakhir menerusi aplikasi WhatsApp daripada keluarganya diterima pada pukul 8.40 pagi waktu Malaysia, semalam.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu masih belum dapat dihubungi.

Menurutnya, setakat ini pihaknya juga belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Kedutaan Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, agensi pelancongan serta pihak berkaitan bagi mengesan keberadaan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan semua jabatan berkaitan supaya segera mengenal pasti dan menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas.

Misi diplomatik Malaysia di Kathmandu dan New Delhi turut digerakkan bagi membantu usaha berkenaan.

Banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah Rasuwa dan Nuwakot, Nepal, susulan hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi.

Bencana itu menyebabkan gangguan komunikasi selain memutuskan laluan utama yang menghubungkan kawasan terjejas dengan Kathmandu, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat dan akses kepada mangsa.

Laluan berkenaan lazimnya digunakan oleh jemaah yang melakukan perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash serta pendaki yang menuju ke kawasan Everest.

Sementara itu, satu lagi kumpulan yang diketuai pendaki Everest Malaysia, Datuk N Mohanadas disahkan selamat di Tibet.

Mohanadas berkata, kumpulannya seramai 56 orang termasuk 39 rakyat Malaysia, empat rakyat Singapura dan tiga warga Kanada tidak terjejas akibat kejadian berkenaan dan meneruskan perjalanan ibadah dengan selamat.

“Kami menyedari kejadian hujan lebat secara tiba-tiba, banjir kilat dan kalangan yang terjejas di sempadan Nepal-Tibet.

“Syukur, kumpulan kami dan laluan yang kami ambil tidak terjejas dan kami meneruskan perjalanan dengan selamat.

“Kami telah memulakan hari pertama daripada tiga hari perjalanan rohani di Gunung Kailash untuk melakukan kora (sirkumambulasi) Kailash,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button