Media sosial perlu dikawal lebih agresif elak ancaman keselamatan, sosial – Fahmi Ngah
PETALING JAYA – Kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih agresif dalam menangani penyalahgunaan media sosial termasuk akaun palsu dan pengaruh anasir luar yang boleh mengancam keharmonian serta keselamatan negara.
EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, penggunaan internet sememangnya membawa banyak manfaat, namun penyalahgunaan platform media sosial boleh memberi kesan buruk terutama kepada golongan muda.

Menurutnya, internet seharusnya dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, mendapatkan maklumat dan membantu aktiviti perniagaan, namun pengguna perlu diberi kesedaran mengenai risiko kandungan yang tidak sihat.
“Internet boleh digunakan untuk kebaikan dan keburukan. Anak-anak boleh menggunakannya untuk belajar, warga emas pula untuk mendapatkan pengetahuan baharu, termasuk peniaga yang memanfaatkannya untuk urusan perniagaan.
“Tetapi ada sisi internet yang terlalu terbuka, khususnya media sosial. Banyak berlaku penyalahgunaan termasuk serangan daripada akaun yang tidak benar dan akaun dari luar negara,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Petaling Jaya anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di Kampung Lindungan, di sini hari ini.
Program itu turut dihadiri Pengarah Kanan, Pejabat Wilayah tengah MCMC, Mohamad Rizal Ahmad; Pengarah Pejabat MCMC Selangor, Amal Abdul Aziz; Ketua Polis Balai Sungei Way, Inspektor Lau Chee Ung dan Ahli Majlis Zon 18, Ahmad Akhir Pawan Chik.
Fahmi berkata, penyalahgunaan media sosial juga boleh memberi tekanan kepada masyarakat dan dalam keadaan tertentu membawa kepada kesan lebih serius, termasuk isu buli siber dalam kalangan golongan muda.
“Kalau anak-anak muda menggunakan media sosial dengan cara yang tidak sihat, ia boleh menyumbang kepada perkara yang lebih membahayakan.
“Kita tidak mahu kehilangan nyawa seorang rakyat negara ini disebabkan media sosial yang tidak terkawal dan disalahgunakan oleh pihak dalam atau luar negara,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan media sosial oleh anasir luar bagi menyebarkan fahaman tertentu yang berpotensi menggugat keselamatan dan kestabilan negara.
Sehubungan itu, Fahmi berpandangan MCMC perlu terus memperkemas mekanisme pemantauan dan mengambil tindakan lebih pantas terhadap kandungan serta akaun yang berisiko.
“Saya rasa pihak kementerian harus mengambil tindakan yang lebih agresif. Bukan bermaksud kita mahu tutup terus kerana kita perlu mendengar suara rakyat.
“Tetapi suara rakyat harus didengari melalui platform yang lebih jujur, di mana kita tahu komen itu sebenarnya datang daripada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti kandungan ekstrem, berunsur perkauman dan agama serta akaun palsu dengan lebih pantas tanpa perlu menunggu aduan daripada orang awam.
Katanya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan ruang siber tidak disalahgunakan untuk mencetuskan perpecahan dalam masyarakat majmuk.
“Kita boleh menggunakan kata kunci dan teknologi yang ada untuk mengenal pasti kandungan lebih awal, terutama jika ia datang daripada akaun palsu atau akaun luar negara yang tidak mencerminkan pandangan sebenar rakyat Malaysia yang mahukan kemajmukan, kestabilan, keselamatan dan keharmonian,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi memuji usaha MCMC dalam meneliti aduan berkaitan media sosial serta mengambil tindakan terhadap kandungan ekstrem dan berunsur perkauman atau keagamaan.
Program Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat itu turut disertai penyelaras DUN Taman Medan dan agensi kerajaan negeri bagi meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk golongan muda dan warga emas mengenai penggunaan internet secara selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








