Lelaki Indonesia maut, motosikal langgar pokok tumbang
SETIU – Seorang lelaki warga Indonesia yang juga pemastautin tetap maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar pokok tumbang di Kilometer 42, Jalan Kampung Merang, Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Darman Khamis, 68, dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kampung Bari Besar, Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 12.10 tengah malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC melanggar sebatang pokok yang tumbang dari sebelah kanan jalan sebelum melintang laluan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat,” memetik Buletin TV3 online.
Polis turut mengesahkan mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan itu tidak mempunyai lesen memandu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








