Hampir 5.9 juta hektar hutan Malaysia disijilkan di bawah MTCS
AMPANG – Hampir 5.9 juta hektar hutan di Malaysia iaitu bersamaan lebih 32 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan negara, kini memiliki pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pensijilan berkenaan penting dalam memenuhi permintaan pengguna dan pembeli yang semakin menitikberatkan asal-usul bahan, selain memastikan produk kayu dihasilkan secara bertanggungjawab, boleh dijejaki dan memenuhi keperluan kelestarian.
“MTCS diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) pada 2009 dan menjadi skim pensijilan kayu tropika pertama di rantau Asia Pasifik yang menerima pengiktirafan berkenaan.
“Pensijilan ini menyediakan penilaian bebas terhadap pengurusan hutan serta rantaian bekalan produk kayu, manakala pensijilan Rantaian Jagaan membolehkan bahan bersijil dijejaki dari hutan yang diurus secara mampan sehingga menjadi produk siap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Merdekapenter 2026 bertempat di Green Factory, di sini hari ini.
Pada peringkat rantaian bekalan, Noraini berkata, sebanyak 365 syarikat di seluruh negara kini memegang pensijilan Rantaian Jagaan MTCS/PEFC, sekali gus memperkukuh kebolehkesanan produk kayu bersijil.
“Pensijilan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk kayu yang dibeli mempunyai sumber yang jelas dan melalui proses rantaian bekalan yang mematuhi piawaian kelestarian yang ditetapkan.
“(Ini termasuk) Penggunaan bahan kitar semula (yang disijilkan) menunjukkan amalan kelestarian dalam industri perkayuan bukan sahaja tertumpu kepada sumber hutan, malah boleh diteruskan melalui penggunaan semula bahan dan usaha mengurangkan sisa,” kata Noraini lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







