BERITA SEMASA

Kerajaan rancang naikkan adunan biodiesel B10 kepada B15 secara berperingkat

PUTRAJAYA – Kerajaan merancang untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel sektor pengangkutan daripada B10 kepada B15 secara berperingkat bermula dengan B12, sebagai langkah memperkukuh sekuriti tenaga negara tanpa melibatkan kos tambahan infrastruktur sedia ada.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil.6/2026 pada 14 April lalu yang mencadangkan peningkatan kadar adunan biodiesel tersebut dilaksanakan secara beransur-ansur.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu merupakan langkah strategik negara dalam mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga alternatif serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import.

“Langkah ini adalah usaha penting untuk memastikan kelangsungan sekuriti tenaga negara, selain menyokong kestabilan industri sawit tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia mempunyai kelebihan strategik untuk memanfaatkan sumber tempatan secara mampan melalui Program Biodiesel Negara.

Program itu telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2011 bermula dengan B5, diikuti B7 pada 2014 dan B10 pada 2019.

Ketika ini, program B20 sedang dilaksanakan secara berfasa di beberapa wilayah termasuk Langkawi, Labuan dan Sarawak (kecuali Bintulu) bagi sektor pengangkutan, manakala sektor industri menggunakan adunan B7 sejak Julai 2019.

KPK menjelaskan, peningkatan kepada B15 juga dijangka membantu meningkatkan penggunaan kapasiti pengeluaran biodiesel negara yang sebelum ini beroperasi di bawah paras optimum.

“Malaysia merekodkan pengeluaran minyak sawit mentah sekitar 18 hingga 20 juta tan setahun, dengan anggaran penggunaan bagi B15 hanya kira-kira 0.80 juta tan, iaitu peningkatan kecil berbanding B10 sebanyak 0.267 juta tan.

“Ini bermakna tidak timbul isu kekurangan bekalan minyak sawit domestik walaupun kadar adunan dinaikkan,” katanya lagi.

KPK turut menegaskan standard kualiti biodiesel Malaysia adalah mematuhi piawaian antarabangsa dan selamat digunakan tanpa menjejaskan prestasi enjin kenderaan.

Dalam pada itu, kerajaan kekal komited untuk terus meneroka peningkatan kadar adunan biodiesel bagi mengoptimumkan perbelanjaan subsidi serta mengurangkan kebergantungan kepada diesel fosil.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong industri sawit negara, malah menjadi pemangkin kepada daya tahan ekonomi dalam menghadapi ketidaktentuan krisis tenaga global,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button