BISNES & EKONOMI

Industri hiliran kenaf diperkukuh, manfaat pekebun kecil terus dipelihara

SETIU – Kerajaan terus komited memperkasa pembangunan industri hiliran kenaf sebagai sektor agrokomoditi masa depan yang berpotensi tinggi, sekali gus menjamin kelangsungan pendapatan pekebun kecil.

kenaf
Lawatan ke Pusat Pemprosessan Kenaf Setiu

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, lawatan beliau ke Pusat Pemprosesan Non-Woven Thermobonding Kenaf milik Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Saujana, Setiu membuktikan keupayaan sebenar operasi hiliran kenaf yang semakin berkembang.

Menurutnya, fasiliti tersebut yang dibangunkan dengan pelaburan RM25 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11 mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memajukan industri berkenaan.

“Dengan kapasiti pengeluaran sehingga 2,400 metrik tan produk non-woven setahun, kilang ini mampu menjana nilai pasaran antara RM16 juta hingga RM18 juta bagi memenuhi keperluan domestik dan eksport,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan kerjasama awam-swasta yang menggerakkan operasi kilang itu sejak 1 April 2022 melalui EADECO Nonwoven Sdn Bhd merupakan langkah tepat dalam memperkukuh rantaian industri kenaf.

“Sinergi antara agensi kerajaan dan pemain industri adalah formula terbaik untuk mengkomersialkan produk slab thermobonding, khususnya bagi kegunaan sektor automotif, pembinaan dan pembuatan perabot,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Noraini menjelaskan kilang tersebut berperanan sebagai pemacu ekonomi yang menyokong penanaman kenaf seluas kira-kira 1,000 hektar di Terengganu dan Kelantan.

“Jaminan pembelian berterusan daripada kilang berkenaan memberi kelegaan kepada pekebun kecil yang sebelum ini berdepan isu lambakan hasil dan ketidaktentuan pasaran.

“Ini secara langsung membantu memastikan pendapatan yang lebih stabil serta meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti pekebun kecil LKTN,” katanya lagi.

Tambah beliau, kementerian akan terus menggalakkan inovasi serta memperluas penggunaan fiber semula jadi bagi memastikan industri kenaf negara kekal berdaya saing, mesra alam dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button