BERITA SEMASA

Peralihan tenaga baharu dipergiat, biodiesel jadi teras daya tahan ekonomi

PUTRAJAYA – Kerajaan komited mempercepat penstrukturan semula ekonomi negara melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, krisis tenaga global yang berpunca daripada konflik geopolitik membuktikan bahawa struktur tenaga dunia masih terdedah kepada kejutan luar, khususnya apabila laluan utama yang membawa sebahagian besar bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia terjejas.

“Apabila satu konflik geopolitik boleh menggugat laluan yang membawa sebahagian besar bekalan minyak dan LNG dunia, ia menunjukkan bahawa keselamatan tenaga tidak boleh terus bergantung terlalu besar kepada bahan api fosil import dan pasaran luar,” katanya pada sesi Taklimat Krisis Tenaga Global, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai langkah jangka sederhana, kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah bersetuju menjadikan biodiesel sebagai salah satu sumber biobahan api alternatif yang paling praktikal dan sedia dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

ekonomi
Akmal Nasrullah pada sesi Taklimat Krisis Tenaga Global di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, biodiesel mampu memberi kesan langsung kerana ia berpaksikan keupayaan domestik sedia ada serta boleh terus digunakan dalam sistem diesel tanpa memerlukan pembangunan ekosistem tenaga baharu.

“Biodiesel memenuhi keperluan tersebut kerana ia merupakan sumber tenaga alternatif yang boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sedia ada yang semakin tidak menentu.

“Ia lebih praktikal pada masa ini kerana boleh terus digunakan dalam sistem diesel sedia ada khususnya bagi sektor pengangkutan, logistik, pertanian dan perkhidmatan.

“Ini bermakna kerajaan tidak perlu menunggu ekosistem tenaga baru dibangunkan sepenuhnya untuk mula bertindak,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15, bermula dengan pelaksanaan B12, tanpa melibatkan sebarang kos tambahan kerana ia menggunakan infrastruktur pengadunan sedia ada.

Tambah beliau, data semasa menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk mempercepatkan langkah ini.

“Pada tahun 2025, pengeluaran biodiesel negara berjumlah 975,207 tan metrik, berbanding kapasiti pengeluaran yang mencecah 2.36 juta tan metrik.

“Ini menunjukkan bahawa asas industri, rantaian bekalan dan keupayaan campuran telah pun tersedia dan hanya perlu diperkukuh secara tersusun untuk memberi manfaat yang lebih besar kepada negara,” jelasnya.

Kesediaan infrastruktur turut dibuktikan melalui lawatan kerja ke PS Pipeline Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama antara Petronas Dagangan Berhad dan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd di Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) yang mengesahkan kesiapsiagaan kemudahan pengendalian dan pengandunan biodiesel.

Menurut beliau, kerajaan berpandangan penggunaan biodiesel mampu memanjangkan ketersediaan bekalan diesel negara.

Ia disokong oleh pelan mitigasi biobahan api, naik taraf depo B20 dan B30 secara berfasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta persediaan ke arah mandat B30 bagi sektor pengangkutan komersial dan awam.

“Kita juga akan mengadakan libat urus bersama pihak Oil Industry Technical Committee ataupun OITC bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan dengan teratur.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan global, memastikan bekalan tenaga kekal mencukupi dan mempercepat reformasi ke arah sistem tenaga yang lebih berdaya tahan sebagai keperluan strategik negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button