Malaysia perlu lindungi ekonomi, perkasa industri PKS – Johari Ghani
KUALA LUMPUR – Dalam landskap global yang semakin tidak menentu dan penuh cabaran, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif bagi melindungi ekonominya dengan memperkukuh peranan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai tulang belakang pertumbuhan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perubahan drastik ekonomi dunia menuntut pendekatan baharu yang lebih strategik dan bersifat perlindungan nasional, sebagaimana yang dilakukan oleh banyak negara sedang membangun ketika ini.
“Dunia hari ini telah banyak berubah malah pembangunan ekonomi setiap negara juga mengalami perubahan ketara.
“Banyak negara membangun kini mencari kaedah untuk melindungi dan menyelamatkan ekonomi masing-masing dan kita juga perlu memikirkan bagaimana untuk melindungi negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ‘clock in’ sebagai simbolik memulakan tugas rasmi di MITI hari ini.
Menurut Johari, meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara menunjukkan pertumbuhan sejak 2015, sumbangan PKS masih bergerak perlahan dan memerlukan perhatian serius.
Beliau berkata, sumbangan PKS kepada GDP hanya meningkat sekitar dua peratus, daripada 37 peratus pada 2015 kepada 39 peratus setakat 2024.
“Peningkatan ini masih belum memadai dan menjadi satu cabaran besar yang perlu kita tangani segera,” katanya.
Mengulas saiz ekonomi negara, Johari berkata GDP Malaysia pada 2015 berada sekitar RM1.2 trilion, namun persoalan utama adalah kekuatan sumber dan asas sokongan ekonomi.
Bagaimanapun, beliau mengakui sumbangan sekitar empat peratus dalam konteks tertentu masih belum mencukupi sekali gus menonjolkan cabaran sebenar dalam memperkasa PKS.
“Jika kita sendiri tidak benar-benar memahami keperluan dan cabaran PKS, kita tidak akan mampu membantu mereka secara berkesan,” katanya.
Johari menegaskan kehadirannya bukan untuk menjanjikan penyelesaian segera, sebaliknya mahu mendapatkan maklum balas berterusan daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi merangka pendekatan yang lebih menyeluruh.
“Kita perlu melihat secara praktikal bagaimana untuk melindungi dan menyokong mereka.
“Bukan sekadar memberi arahan, tetapi membina strategi yang benar-benar berkesan seperti mana negara-negara berjaya yang lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan inklusif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







