JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat dibalut jaring: Bapa mangsa menangis dengar sebutan kes pembunuhan anak

BATU PAHAT – Bapa kepada seorang ahli perniagaan yang dibunuh sebelum mayatnya dibalut dengan jaring dan dibuang ke dalam sungai tidak dapat menahan sebak ketika mendengar prosiding pertuduhan terhadap empat lelaki di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Lelaki berusia 60-an itu pada mulanya kelihatan sayu ketika berjalan menuju ke kamar mahkamah dengan dipimpin ahli keluarganya bagi mengikuti sebutan kes pembunuhan anaknya, Low Kai Xian, 39.

Bagaimanapun, sebaik pertuduhan dibacakan terhadap keempat-empat tertuduh, air matanya mula mengalir.

Peguam pemerhati keluarga mangsa, Chuah Shyue Chien berkata, bapa mangsa amat berduka mengenangkan tragedi yang menimpa anaknya.

“Dia sedih dan menangis. Kami diberitahu ahli keluarga bahawa mereka menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan hukuman terhadap pembunuh anaknya.

“Itulah yang disampaikan kepada kami sebelum prosiding bermula,” katanya memetik laporan Metro Online.

Terdahulu, empat lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa membunuh ahli perniagaan itu dalam kejadian awal bulan ini.

BACA JUGA:
Mayat lelaki dibalut jaring, polis siasat unsur pembunuhan

Mereka ialah Yogesvaran Subramaniam, 40, Lim Yong Ming, 26, Achuthan Nagarajan, 32, dan How Han Wei, 33.

Yogesvaran bekerja sebagai pemandu lori, manakala Lim Yong Ming dan Achuthan masing-masing bekerja sebagai kelindan lori. How Han Wei pula merupakan peniaga kenderaan terpakai.

Keempat-empat tertuduh hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Sementara itu, beberapa ahli keluarga mangsa dilihat menunggu seawal jam 7.45 pagi di luar perkarangan mahkamah, dipercayai bagi melihat sendiri tertuduh yang didakwa terbabit dalam pembunuhan ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun, mereka enggan ditemu bual sebelum beredar meninggalkan mahkamah selepas prosiding selesai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button