Penunggang motosikal maut rempuh lori di LPT2
DUNGUN – Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah lori yang dipercayai terbabas di Kilometer 357, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, motosikal mangsa turut terbakar selepas rempuhan manakala identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti mangsa serta punca sebenar kemalangan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan barangan kurier itu dipercayai terbabas sebelum melanggar besi penghadang di sebelah kiri lebuh raya.
“Motosikal mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang kiri lori berkenaan.
“Akibat rempuhan itu, motosikal terbakar sebelum api dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS),” katanya memetik Berita RTM.
Beliau berkata, kedua-dua kenderaan dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan, Pahang ketika kejadian.
Pemandu lori berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








