Kapal minyak milik UAE diserang ketika melalui Selat Hormuz
ABU DHABI – Dua kapal milik Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) diserang ketika melalui Selat Hormuz, semalam namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Agensi Berita Emiriah (WAM) melaporkan, ADNOC dalam satu kenyataan mengesahkan kedua-dua kapalnya menjadi sasaran serangan, namun keadaan berjaya dikawal.
Syarikat itu menegaskan kepentingan memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelaut, selain memelihara kebebasan pelayaran serta keselamatan maritim.
ADNOC turut menggesa orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan kejadian itu hanya daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat yang belum disahkan.
Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap kedua-dua kapal berkenaan.
Kementerian Luar UAE menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2817 yang menegaskan kepentingan kebebasan pelayaran serta menolak serangan terhadap kapal komersial dan tindakan menghalang laluan maritim antarabangsa.
Menurut kementerian itu, tindakan menyasarkan kapal komersial serta menggunakan Selat Hormuz sebagai alat tekanan ekonomi atau ugutan adalah perbuatan lanun oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.
Kementerian berkenaan turut menyifatkan tindakan itu sebagai ancaman langsung terhadap kestabilan rantau berkenaan serta keselamatan tenaga global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







