MySihat Expo 2026 sasar lebih 100,000 pengunjung, gabung empat festival dalam satu platform
SERDANG – MySihat Expo 2026 menyasarkan lebih 100,000 pengunjung menerusi gabungan empat acara utama yang menghimpunkan elemen kesihatan, kesejahteraan, sukan dan gaya hidup dalam satu platform bersepadu.
Festival selama tiga hari itu yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), turut menyasarkan penyertaan lebih 600 jenama dan pempamer, selain lebih 50 sesi perkongsian pakar serta 10 acara sukan dan aktiviti komuniti.
Menurut Moonman Event Sdn Bhd selaku penganjur, MySihat Expo 2026 yang mempunyai ruang pameran melebihi 170,500 kaki persegi menyatukan kesihatan dan kesejahteraan dengan sukan, seni budaya dan warisan, pemakanan, kecergasan, wangian, hiburan serta gaya hidup moden.
Penganjur berkata, pendekatan itu diperkenalkan bagi mengubah konsep pameran tradisional kepada festival yang membolehkan pengunjung belajar, mencuba, berinteraksi dan mengalami sendiri pelbagai aspek kesihatan, kecergasan, seni budaya dan gaya hidup sihat.
Empat komponen utama yang bakal menjadi tarikan festival itu ialah MySihat Expo, HUNTR Games Kuala Lumpur, FragMania dan Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.
Sebagai platform utama, MySihat Expo menghimpunkan hospital, pusat perubatan, klinik, syarikat kesihatan, jenama kesejahteraan, nutrisi, kecantikan, teknologi kesihatan dan sukan.

Pengunjung berpeluang menyertai pemeriksaan kesihatan percuma, konsultasi bersama doktor dan pakar, forum kesihatan, ceramah gaya hidup sihat, bengkel pertolongan cemas, demonstrasi serta aktiviti komuniti termasuk yoga, zumba dan larian santai.
HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 pula bakal menempatkan Malaysia sebagai tuan rumah kepada antara pertandingan perlumbaan kecergasan terbesar di rantau ini.
Acara itu dijangka menghimpunkan lebih 8,000 atlet dan peserta dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Korea Selatan.
Kuala Lumpur turut dipilih sebagai pusingan kelayakan rasmi ke HUNTR Games World Championships 2027, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam kalendar sukan antarabangsa.

Bagi peminat wangian, FragMania bakal menghimpunkan jenama tempatan dan antarabangsa dalam satu platform interaktif.
Pengunjung berpeluang mencuba pelbagai koleksi haruman, bertemu pengasas jenama, mengikuti pelancaran produk baharu, demonstrasi dan sesi perkongsian industri serta meneroka dunia wangian secara langsung.
Sementara itu, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta kembali selepas penganjuran sulung pada 2025 dengan konsep lebih segar dan sihat.
Festival itu mengetengahkan vendor yang menawarkan pilihan makanan lebih sihat, seimbang dan berkualiti, di samping menghimpunkan pengusaha makanan dari seluruh negara.
Berlangsung selama empat hari mulai 8 Oktober ini, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta turut menampilkan Podcast Anjung Malaysiaku, demonstrasi masakan secara langsung, perkongsian pemakanan sihat, persembahan komuniti, aktiviti keluarga, zumba, larian santai serta pengalaman menjamu selera dalam suasana yang menggabungkan makanan, seni budaya dan gaya hidup.

Moonman Event berkata, gabungan keempat-empat komponen itu diyakini mampu menjadikan MySihat Expo sebagai festival nasional yang memberi manfaat kepada masyarakat, selain membuka peluang kepada pemain industri memperkenalkan produk, teknologi dan inovasi kepada pasaran lebih luas.
Menurut penganjur, MySihat Expo diwujudkan untuk membentuk ekosistem yang menghubungkan masyarakat dengan sektor kesihatan, kesejahteraan, sukan dan gaya hidup menerusi pendekatan yang lebih inklusif dan mudah diakses.
“Kami tidak mahu masyarakat hanya memikirkan kesihatan apabila jatuh sakit. Kesihatan perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup. Atas sebab itu, kami menghimpunkan empat acara utama dalam satu platform.
“Dengan cara ini pengunjung dapat menikmati pengalaman menyeluruh, daripada pemeriksaan kesihatan dan pertandingan sukan kepada pilihan makanan lebih sihat, dunia wangian serta aktiviti komuniti bersama keluarga. Inilah masa depan festival gaya hidup di Malaysia,” menurut pihak penganjur.
Selain menjadi destinasi untuk orang ramai, MySihat Expo 2026 turut membuka peluang penyertaan kepada hospital, pusat perubatan, klinik, syarikat farmaseutikal, jenama kesejahteraan, pengeluar makanan, syarikat nutrisi, pengusaha wangian, jenama kecergasan, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat korporat sebagai pempamer, penaja atau rakan strategik.
Dengan sasaran lebih 100,000 pengunjung serta lebih 600 jenama dan pempamer, MySihat Expo 2026 dijangka menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran festival kesihatan dan gaya hidup di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








