Sultan Ibrahim mahu siasatan RCI Tabung Haji, isu FELDA dibuat ‘hingga ke lubang cacing’
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) serta isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Baginda bertitah demikian ketika Seri dipersembahkan taklimat berkaitan Laporan Siasatan RCI mengenai TH, selain isu semasa yang membabitkan FELDA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Baginda bertitah, siasatan terhadap perkara berkenaan perlu dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan segala aspek diteliti dan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
“Siasatan perlu dilakukan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press.
Baginda turut menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan, selain memastikan kelemahan atau salah laku sama tidak berulang pada masa hadapan.
Dalam pada itu baginda turut bertitah supaya kementerian serta agensi yang berkaitan digesa supaya meningkatkan kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.
Baginda bertitah, langkah berkenaan bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Sultan Ibrahim, bertitah aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
Terdahulu, baginda berkenan menerima Perdana Menteri dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam.
Pertemuan Perdana Menteri bersama baginda berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








