Asyraf Wajdi gesa ahli UMNO kekal rendah diri, jangan ulangi kesilapan lalu
CYBERJAYA – Semua ahli dan penyokong UMNO digesa supaya terus merendah diri susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut mengingatkan supaya kesilapan lalu seperti bersikap angkuh selepas memperoleh mandat rakyat tidak lagi diulangi.
Beliau turut berkata, tiada lagi keperluan untuk terus menyerang atau memperlekehkan pihak lawan yang tewas, sebaliknya tumpuan kini perlu diberikan kepada amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat dengan penuh keikhlasan dan rendah hati.
“Tiada keperluan untuk terus mengkritik, apatah lagi menghina mereka yang tewas, walaupun kita pernah menjadi sasaran fitnah dan pelbagai tuduhan sepanjang kempen.
“Jangan ulangi kesilapan lalu. Jauhi sifat angkuh. Kini, tumpukan sepenuh perhatian untuk melaksanakan amanah rakyat dengan penuh keikhlasan dan rendah diri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Gesaan Asyraf Wajdi hadir selepas BN muncul sebagai pemenang terbesar dalam PRN semalam dengan memenangi 18 kerusi, 16 daripadanya dimenangi UMNO.
Pada PRN Negeri Sembilan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi.
Keputusan itu turut mencetuskan perbincangan mengenai perubahan corak sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, serta hala tuju parti-parti pembangkang termasuk BERSATU yang mengalami kekalahan teruk dengan kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu dan 23 daripada 24 calonnya kehilangan deposit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















