BERITA SEMASA

Istiadat angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan baharu dijadual berlangsung pagi ini

KUALA PILAH – Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu dijadual akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini pagi ini.

Makluman berhubung istiadat berkenaan telah diedarkan kepada pengamal media menerusi aplikasi WhatsApp, namun sehingga kini identiti individu yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar masih belum diumumkan secara rasmi.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawwir untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, perkara itu disampaikan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Besar di Istana Hinggap di Seremban, malam tadi.

“Saya telah mengutus warkah kepada Tuanku dan secara peribadi menyerahkan warkah serta watikah yang mengandungi tiga nama calon untuk dipertimbangkan.

“Pemilihan Menteri Besar adalah atas budi bicara, perkenan serta hak mutlak Tuanku untuk memilih salah seorang daripada mereka,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mendedahkan identiti ketiga-tiga calon berkenaan dengan menyatakan pengumuman mengenainya adalah hak pihak istana.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 semalam, BN muncul sebagai gabungan terbesar apabila memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.

Keputusan itu membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan sokongan majoriti di DUN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button