BERITA SEMASA

Tuanku Muhriz perkenan BN-PN bentuk Kerajaan Negeri Sembilan baharu

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Perkembangan itu diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap baginda di Istana Hinggap, Seremban sejurus selesai proses pengiraan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Dalam sesi menghadap tersebut, keputusan rasmi pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara BN dan PN telah dipersembahkan kepada baginda.

“Hasil daripada pertemuan itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri yang baharu oleh gabungan BN dan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, BN menjunjung kasih atas perkenan baginda serta menegaskan komitmen untuk melaksanakan amanah mentadbir negeri dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri serta prinsip kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Tegasnya, BN turut komited untuk terus menjunjung tinggi, memelihara dan menghormati institusi diraja sebagai payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta teras kepada sistem Raja Berperlembagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button