‘Saya tidak kecewa, ini qada dan qadar Allah’ – Aminuddin
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, lDatuk Seri Aminuddin Harun mengakui prestasi pentadbirannya selama lapan tahun mungkin gagal meyakinkan sebahagian besar pengundi sehingga Pakatan Harapan (PH) tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.
Beliau berkata, keputusan yang dibuat rakyat perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
Menurutnya, laporan pencapaian atau ‘report card’ yang dibawa sepanjang kempen mungkin tidak cukup baik di mata rakyat untuk membolehkan PH terus diberi mandat mentadbir negeri.
“Saya terima apa jua keputusan. Saya katakan dari awal sejak kita bubarkan DUN, selepas itu dalam kempen saya hantar report card, mungkin report card masih kurang.
“Hari ini rakyat telah buktikan report card saya tidak cukup elok. Saya tidak ada masalah. Ini biasa dalam politik, ada kalah ada menang,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi PH di sini hari ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak berasa kecewa dengan keputusan tersebut sebaliknya menganggap ia sebagai ketentuan qada dan qadar yang perlu diterima dengan reda.
“Saya tidak rasa kecewa. Ini qada dan qadar, saya terima dan saya reda apa yang berlaku. Ada hikmahnya.
“Mungkin selepas ini saya boleh meluangkan lebih masa bersama anak dan cucu serta memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk parti pada masa akan datang,” katanya lagi.
Aminuddin yang menerajui pentadbiran Negeri Sembilan sejak 2018 turut menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang berkhidmat sebagai Menteri Besar selama lapan tahun.
“Sepanjang tempoh itu beliau telah berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat walaupun mengakui terdapat kelemahan dalam pentadbirannya.
“Saya ucap syukur Alhamdulillah kerana diberi peluang berada di kerusi ini selama lapan tahun dan saya rasa saya telah cuba melakukan yang terbaik.
“Mungkin ada kelemahan, saya akui. Tetapi saya yakin rakyat mempunyai pertimbangan sendiri tentang masa depan yang mereka mahukan,” katanya lagi.
Mengulas peranan PH selepas kekalahan itu, beliau berkata, 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH yang berjaya dipilih akan terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat dan memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.
“Kita akan teruskan apa yang ada. Di mana kita mempunyai 11 kerusi DUN, kita mahu pastikan kesemuanya berfungsi dengan baik.
“Kita mahu terus menyantuni rakyat dan memastikan khidmat kepada masyarakat tidak terhenti walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan negeri,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















