POLITIK

Aminuddin yakin PH lepasi sasaran 19 kerusi PRN Negeri Sembilan

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) tidak terkesan dengan pelbagai ramalan atau analisis pihak luar mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, sebaliknya kekal yakin mampu melepasi sasaran 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keyakinan itu berdasarkan perkembangan di peringkat akar umbi serta maklum balas yang diterima daripada jentera di kawasan bertanding.

Beliau berkata, pelbagai spekulasi yang muncul menjelang hari pengundian adalah perkara biasa dalam setiap pilihan raya dan tidak menjejaskan semangat jentera PH.

“Kami masih yakin bahawa kami akan melepasi 19 kerusi. Seperti yang saya katakan bahawa kami insyaAllah akan melepasi 19 kerusi.

“Dan saya yakin sehingga saat akhir malam tadi saya semak di semua kawasan yang kita berkaling mempunyai potensi yang baik. Dan insyaAllah saya rasa jentera tak rasa down walaupun macam-macam spekulasi.

“Itu biasalah analisis yang kita rasa dia hanya di atas meja, dia tidak turun ke bawah. Jadi saya rasa saya masih yakin lagi melepasi 19 kerusi tersebut. InsyaAllah,” katanya.

Baca juga : Aminuddin gesa pengundi nilai prestasi, bukan sentimen menjelang hari pengundian

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Institut Perguruan Raja Melewar di Sikamat, di sini, pagi ini.

Terdahulu, Aminuddin beliau yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi tiba di pusat mengundi sekitar pukul 8.35 pagi, diiringi Setiausaha Politiknya, Norazman Mohamad, yang juga calon PH bagi kerusi DUN Sikamat.

Aminuddin tidak mempertahankan kerusi DUN Sikamat yang dimenanginya pada PRN 2023 dengan majoriti 2,662, sebaliknya berpindah ke DUN Linggi.

DUN Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan dua lagi calon termasuk penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli serta Datuk Zamri Md Said mewakili BERSATU.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button