Kelindan lori dihukum penjara 38 bulan culik pelajar depan sekolah
KULIM – Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara 38 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menculik seorang pelajar tingkatan dua di hadapan sekolah di Padang Serai minggu lalu.
Tertuduh, M Shyrichs, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah, lapor Astro Awani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menculik mangsa berusia 14 tahun di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lela Pahlawan, Padang Serai daripada jagaan sah ibunya pada 6.30 petang 23 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.
Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di tarikh, masa dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), V Nyanasegaran, memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai kelindan lori, masih bujang dan memperoleh upah harian.
Beliau berkata, pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan masa mahkamah selain mendakwa perbuatan itu dilakukan kerana terdesak disebabkan individu tertentu.
Peguam itu turut memohon agar hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak dan dikira bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Julai lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan bagi pertuduhan menculik dan penjara lima bulan bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan.
Kedua-dua hukuman diperintah dijalankan dari tarikh tangkapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















