Aminuddin sifatkan kenyataan Asyraf Wajdi biadab, gesa mohon maaf
PORT DICKSON – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon maaf kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta rakyat negeri ini susulan kenyataannya berhubung kemungkinan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilantik sebagai Menteri Besar.
Aminuddin berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin kerana bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan syarat pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Saya merasakan Asyraf Wajdi sepatutnya sebagai seorang pemimpin yang bijaksana. Tetapi apabila dia mengatakan bahawa kalau saya kalah di Linggi, Anthony Loke akan jadi Menteri Besar, saya rasa ini satu perbuatan yang cukup biadab,” katanya ketika ditemui pemberita semasa program walkabout di sini semalam.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang memahami perlembagaan negeri mengetahui bahawa jawatan Menteri Besar mempunyai syarat tertentu yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Kita tahu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri menyatakan yang boleh menjadi Menteri Besar adalah Melayu.
“Saya minta supaya seluruh pimpinan UMNO menegur pemimpin ini kerana ia seolah-olah melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak menghormati institusi pemerintahan negeri yang diterajui Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat.
“Kita ada Tuanku dan Undang Yang Empat. Biadab seperti begini tidak patut berlaku dalam pilihan raya.
“Boleh bergurau, tetapi gurauan itu biarlah kena pada tempatnya. Jangan cari masalah,” katanya lagi.
Aminuddin berkata, beliau berharap Asyraf tampil memohon maaf, bukan kepada dirinya, sebaliknya kepada institusi diraja dan rakyat Negeri Sembilan.
“Saya harap dia mohon maaf. Bukan kepada saya, tetapi kepada Tuanku, Undang Yang Empat dan rakyat.
“Kita boleh cakap apa sahaja ketika pilihan raya, tetapi jangan sentuh institusi yang kita kata kita hormat. Kita kata kita hormat Melayu, hormat raja dan hormat Islam, tetapi kita sendiri melanggarnya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








