POLITIK

Manifesto BN mahu sambung agenda pembangunan tergendala sejak 2018

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) bertekad meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan yang menurutnya tergendala selepas gabungan itu kehilangan kuasa pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto yang dilancarkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini dirangka untuk menyambung semula perancangan pembangunan mampan yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, pelbagai rancangan pembangunan negeri tidak dapat diteruskan selepas BN tewas pada pilihan raya lalu.

“Perancangan yang tergendala, bukan ditangguhkan. Kalau ditangguhkan, kita yang tangguhkan, tetapi kita kalah.

“Rancangan pembangunan Negeri Sembilan yang tergendala ketika itu tidak diuruskan sebagaimana yang dirancang,” katanya selepas melancarkan Manifesto BN bagi PRN Negeri Sembilan hari ini.

Turut hadir, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mengulas perkembangan kempen, Mohamad berkata, sambutan rakyat terhadap BN kali ini dilihat lebih positif berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Saya cukup teruja dengan penerimaan rakyat. Dulu apabila kita datang, ada yang terus masuk ke dalam rumah.

“Sekarang apabila kita lalu, mereka sudah menunggu. Situasi sama berlaku di Johor dan saya melihat pengundi sudah membuat keputusan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai isu krisis adat yang sedang hangat diperkatakan di negeri itu, Mohamad berkata perkara berkenaan akan diselesaikan sekiranya BN diberi mandat untuk mentadbir semula Negeri Sembilan.

Sementara itu, BN turut memperkenalkan manifesto bertemakan ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan’ yang mengandungi 88 inisiatif di bawah sembilan teras utama.

Mohamad berkata, manifesto tersebut digubal berdasarkan pengalaman pentadbiran BN dan memberi penekanan kepada janji yang realistik serta mampu dilaksanakan.

Menurutnya, satu Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto juga akan diwujudkan bagi memastikan setiap komitmen yang dijanjikan dapat direalisasikan.

Antara sasaran utama manifesto itu ialah menarik pelaburan bernilai RM30 bilion dalam tempoh lima tahun, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu serta melatih 20,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam sektor perumahan pula, BN berjanji membina 25,000 unit rumah tambahan, menyediakan 1,000 lot rumah kampung serta tidak menaikkan cukai pintu bagi tempoh lima tahun.

Bagi pendidikan, gabungan itu menawarkan 100 biasiswa khas kepada pelajar cemerlang selain bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga B40 termasuk pemberian peranti mudah alih percuma kepada pelajar Tingkatan Enam, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda yang layak.

Manifesto itu turut memberi fokus kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan kemudahan lampu jalan di kampung Orang Asli dan kampung baharu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas jenayah serta penyediaan sebuah ambulans bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, BN turut berjanji memperkasakan perkhidmatan kerajaan menerusi pendigitalan perkhidmatan awam, penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak di setiap daerah, pemberian bonus tahunan setara kepada penjawat awam serta mengekalkan pekerja sementara dan sambilan sedia ada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button