PMX

RM44.5 juta diperuntuk, kerajaan pastikan projek mitigasi banjir PJ, Damansara berjalan lancar

PETALING JAYA – Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan projek mitigasi banjir di sekitar Petaling Jaya dan Damansara yang menerima peruntukan sebanyak RM44.5 juta akan berjalan lancar demi memastikan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan berkenaan membabitkan komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menangani isu banjir yang berlaku di beberapa lokasi.

“Ada beberapa keputusan penting yang orang PJ (Petaling Jaya) harus tahu.

“Saya membesar di sini. Saya tahu semua lorong-lorong kecil di sini. Sekarang, tak ada yang terkecuali, kerana PJ ni pun kadang-kadang banjir. Damansara pun ada banjir.

“Jadi, dalam Belanjawan tahun lalu, sejak dua tahun lalu, kita mula bincang dan kita sudah pakat, setengah peruntukan Kerajaan Persekutuan, setengah lagi negeri. Kerajaan Negeri Selangor suddah luluskan lebih 30 skop kerja mitigasi banjir.

Related Articles

“Ini adalah isu banjir di sekitar Petaling Jaya, Damansara. Kepada MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya), saya ucap terima kasih. Semua jabatan di Selangor dan Kerajaan Persekutuan, kita sudah lulus RM44.5 juta untuk mitigasi banjir dan dalam pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 anak muda pada Program Generasi Muda Suara Baharu di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Kamil Munim.

Semalam, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim memaklumkan daripada 12 kawasan banjir yang dikenal pasti, tiga lokasi kritikal diberi keutamaan bagi pelaksanaan projek mitigasi banjir.

Lokasi terbabit ialah Seksyen 51A (Jalan 223), Kampung Cempaka dan Jalan PJU 1A (Terowong FAS).

Sebelum ini, media melaporkan hujan lebat pada 18 Julai lalu menyebabkan Medan Selera 223 di Seksyen 51A serta beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya dilanda banjir kilat berulang selepas kejadian sama berlaku pada 20 April dan 6 Mei lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button