Siasatan forensik kebakaran Pasar Borong Selangor ambil masa 2 minggu – bomba
KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangka siasatan forensik kebakaran di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini akan mengambil masa sehingga dua minggu bagi mengenal pasti punca kejadian.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kerja mengalihkan runtuhan menggunakan jengkaut sedang dijalankan selepas penilaian awal pasukan forensik bagi memastikan tiada mangsa terperangkap sebelum siasatan terperinci dimulakan.
“Jengkaut digunakan bagi mengalihkan timbunan runtuhan untuk memastikan tiada mangsa berada di bawahnya, selain membolehkan pemeriksaan dilakukan dengan lebih menyeluruh.
“Selepas kerja itu selesai, lokasi akan diserahkan kepada pasukan forensik untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya memetik laporan BH Online.
Menurutnya, operasi mengalihkan runtuhan dan pemeriksaan sisa kebakaran dijangka mengambil masa antara lima hingga lapan jam bergantung kepada keadaan di lokasi.
Kebakaran malam tadi memusnahkan tiga premis menjual perkakas elektrik dan peralatan dapur di Blok B4 Pasar Borong Selangor, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, pasukan bomba turut memastikan tiada bara api atau titik panas yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Pemeriksaan awal juga mendapati terdapat ruang yang dipercayai digunakan sebagai tempat tidur, namun semua pekerja disahkan selamat.
Terdahulu, kebakaran yang berlaku malam tadi memusnahkan tiga premis di Pasar Borong Selangor sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi tadi.
Kebakaran membabitkan lot kedai menjual perkakas elektrik dan peralatan dapur di Blok B4 pasar borong berkenaan, serta setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















