Siti Nurhaliza diiktiraf Universiti Sunway, terima Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media
KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) daripada Universiti Sunway sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam industri seni dan kreatif negara.
Penganugerahan itu disampaikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sunway yang berlangsung hari ini oleh Canselor Universiti Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah.
Universiti Sunway menerusi satu hantaran di Instagram memaklumkan, pengiktirafan tersebut diberikan sebagai menghargai jasa serta perjalanan seni Siti yang telah mewarnai industri hiburan tanah air selama lebih tiga dekad.
“Tahniah kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang Seni Kreatif dan Media sebagai pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang dan perjalanan inspiratif beliau dalam seni dan industri kreatif.
“Momen yang sememangnya tidak akan dilupakan,” menurut hantaran itu.
Pada majlis berkenaan, Siti turut menyarung jubah konvokesyen sebelum menerima ijazah kehormat tersebut.
Perkongsian mengenai penganugerahan itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai di media sosial yang menyifatkan penyanyi berusia 47 tahun itu sememangnya layak menerima penghormatan berkenaan atas pencapaian dan sumbangannya kepada dunia seni.
Sebelum ini, Siti turut dilantik sebagai Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 15 Oktober 2025 hingga 15 Oktober 2027.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















