AI bukan pengganti tapi takrif semula peranan universiti – Dr Zambry
SEPANG – Kecerdasan buatan (AI) tidak akan menghapuskan fungsi institusi pengajian tinggi (IPT), sebaliknya mentakrif semula peranan universiti dalam melahirkan graduan yang mampu mencipta peluang, memacu inovasi dan membentuk masa depan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perubahan pesat teknologi, dunia pekerjaan dan kaedah pembelajaran menuntut universiti beralih daripada sekadar melahirkan tenaga kerja kepada melahirkan individu yang memiliki kebijaksanaan, daya penyesuaian, kepimpinan beretika serta semangat pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan aspirasi yang digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
“AI boleh menjana maklumat tetapi tidak mampu menggantikan kebijaksanaan, AI boleh memproses data tetapi tidak boleh menggantikan pertimbangan dan AI boleh mengautomasikan keputusan tetapi tidak boleh menggantikan nilai,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Presiden Agensi Kelayakan Malaysia bagi Universiti 2026, di sini hari ini.
Zambry berkata, ukuran kejayaan sesebuah universiti pada masa hadapan tidak lagi bergantung kepada jumlah graduan yang berjaya memperoleh pekerjaan semata-mata, sebaliknya berdasarkan keupayaan mereka menyelesaikan masalah kompleks, memimpin masyarakat, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa jaminan kualiti perlu dilihat sebagai aset strategik negara kerana kepercayaan terhadap sistem pendidikan tinggi menjadi faktor penting dalam mengukuhkan pengiktirafan kelayakan akademik, meningkatkan mobiliti pelajar serta memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi.
Menurutnya, Malaysia juga komited memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi di peringkat ASEAN melalui perkongsian ilmu, pengiktirafan kelayakan, penyelidikan rentas sempadan dan kepimpinan bersama bagi membangunkan ekosistem pendidikan tinggi serantau yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Forum julung kali dianjurkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi universiti itu menghimpunkan pemimpin institusi pengajian tinggi, agensi jaminan kualiti, pembuat dasar serta wakil industri dari negara-negara ASEAN untuk membincangkan isu kebolehpasaran graduan, transformasi digital, inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai agenda utama pendidikan tinggi serantau.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman; Pengerusi Majlis MQA, Prof Emeritus Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang serta Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















