PH perkasa kempen mikro dekati pengundi akar umbi di Negeri Sembilan – Amirudin
PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan kepada strategi kempen mikro berasaskan lokaliti bagi menyampaikan mesej serta tawaran parti secara lebih berkesan kepada pengundi akar umbi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan menerusi pertemuan dalam kelompok kecil itu membolehkan parti memberi penjelasan terhadap isu-isu setempat dan memenuhi keperluan khusus setiap komuniti tanpa menyentuh soal peribadi.
Bagaimanapun, beliau berkata, ceramah berskala besar atau ceramah mega tetap menjadi sebahagian daripada strategi kempen sebagai acara kemuncak yang mampu mempamerkan kekuatan serta kesatuan jentera parti selain menarik perhatian pengundi atas pagar.
“Di Negeri Sembilan, PH peneraju kepada kerajaan dan aspek kestabilan yang ditunjukkan akan menjadi tawaran penting. PH mempunyai sejarah cemerlang termasuk meningkatkan simpanan negeri dan merancakkan kegiatan ekonomi dengan nilai pertumbuhan antara 25 hingga 28 peratus.
“Ini menjadi daya pengukuh kepada pembuat keputusan supaya memilih secara majoriti pakatan ini,” katanya memetik laporan BERNAMA.
Baca juga : Manifesto PH: Negeri Sembilan disasar jadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, keberkesanan kempen mikro turut diperkukuhkan menerusi jaringan jentera PH di Negeri Sembilan yang disifatkan kukuh sejak gabungan itu diberi mandat mentadbir negeri pada 2018.
Menurut beliau, berbanding PRN Johor sebelum ini, PH turut menambah baik strategi kempen dengan memberi penekanan kepada keselarasan mesej serta memperkukuh kerjasama antara jentera parti komponen bagi memastikan gerak kerja kempen lebih tersusun.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR itu optimis rekod pentadbiran kerajaan PH di bawah pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 akan menjadi pertimbangan utama pengundi untuk terus memilih kestabilan politik di negeri itu.
Mengulas kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini, Amirudin berkata, perkembangan itu merupakan realiti baharu dalam landskap politik negara apabila pelbagai parti terus mencari formula kerjasama terbaik sejak Pilihan Raya Umum Ke-14.
Katanya, pengalaman lalu membuktikan setiap gabungan politik mempunyai cabaran tersendiri terutama dalam memastikan kesepakatan, pembahagian kerusi serta hala tuju yang seiring apabila berdepan pilihan raya.
“Keupayaan sesebuah gabungan tidak seharusnya dinilai berdasarkan keputusan satu pilihan raya semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kemampuan mengekalkan kesepakatan dan mengurus cabaran jangka panjang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















