IRC 2026: Malaysia mahu bentuk piawaian digital global lebih selamat
KUALA LUMPUR – Malaysia mahu memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menyelaras peraturan digital global menerusi Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, seiring perkembangan teknologi dan peningkatan ancaman dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persidangan berkenaan menjadi platform penting bagi badan kawal selia dari seluruh dunia berkongsi pandangan, membincangkan cabaran baharu serta mencari pendekatan bersama dalam menangani risiko digital.
Beliau berkata, penganjuran IRC 2026 turut mendapat perhatian antarabangsa susulan langkah Malaysia beralih daripada model rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian 5G.
“Kami melihat IRC sebagai platform yang menghimpunkan badan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari negara lain untuk duduk semeja, bertukar pandangan, membincangkan hala tuju masa depan dan mencari kaedah terbaik untuk bekerjasama menangani kemudaratan dalam talian,” katanya selepas merasmikan persidangan itu hari ini.

Dalam ucapan perasmian, Fahmi berkata, kemajuan teknologi yang pantas meningkatkan jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan digital yang lebih selamat, platform bertanggungjawab serta inovasi yang mampu meningkatkan kualiti kehidupan tanpa mewujudkan risiko baharu.
Menurut beliau, isu kepercayaan, kebertanggungjawaban dan daya tahan digital menjadi fokus utama perbincangan sepanjang IRC 2026 yang turut menyentuh aspek keselamatan dalam talian, tadbir urus data, kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum serta sistem autonomi.
Beliau berkata, hasil perbincangan persidangan itu akan diteruskan di peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk dibawa ke forum seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), yang mana Malaysia merupakan ahli majlis.
Katanya, kerjasama dengan badan kawal selia luar negara sebelum ini turut membantu dalam membentuk dasar dan perundangan tempatan termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian.
Jelasnya, akta berkenaan mengubah pendekatan kerajaan daripada hanya memberi tumpuan kepada pencegahan kemudaratan kepada meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada penyedia platform dalam melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
“Banyak perbincangan mengenai teknologi baharu akan dibawa dan diperhalusi, sama ada di peringkat Jemaah Menteri atau dalam kalangan ketua setiausaha.
“Sekiranya ada undang-undang yang perlu ditambah baik atau digubal, ia akhirnya boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















