854 anggota pasukan MALBATT berlepas ke Lubnan bermula hari ini
SUBANG – Seramai 854 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) kumpulan pertama Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-11) dihantar ke Lubnan bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) hari ini.
Pasukan turut dianggotai 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan (Mindef).
MALBATT 850-11 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan 4 peringkat penghantaran.
Pasukan yang diketuai oleh Kolonel Burhan Sagoni selaku Komander MALBATT 850-11 ini juga melibatkan seramai 85 pegawai dan anggota wanita.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, MALBATT 850-11 akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL.
“Pasukan ini akan menggantikan MALBATT 850-10 yang telah berada di negara berkenaan selama hampir setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia serta penghantaran kumpulan pertama MALBATT 850-11 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
MALBATT 850-11 akan ditempatkan di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.
Penghantaran anggota MALBATT 850-11 dilakukan secara berperingkat melalui empat kali penerbangan menggunakan pesawat Air Asia.
Penghantaran Kumpulan Ke-2 MALBATT 850-11 akan dilaksanakan pada 7 November ini, KumpulanKe-3 pada 12 November dan penghantaran Kumpulan Ke-4 pada 16 November ini.
Majlis pemakaian beret PBB diadakan secara simbolik dan dipakaikan kepada Komander MALBATT 850-11, wakil ketiga-tiga perkhidmatan (TD, TLDM, TUDM), wakil ABDB, wakil anggota wanita dan anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM.