Malaysia tidak berkompromi pertahan kedaulatan Pulau Layang-Layang
LABUAN – Malaysia kekal tegas mempertahankan kedaulatan, hak berdaulat dan kepentingan strategik negara di wilayah daratan serta maritim termasuk Pulau Layang-Layang yang terletak di Gugusan Semarang Peninjau, Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran berterusan kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan berkenaan membuktikan komitmen negara dalam mempertahankan wilayah strategik yang turut berdepan tuntutan bertindih oleh beberapa negara.
Menurut beliau, Pulau Layang-Layang merupakan antara kawasan yang menjadi tuntutan bertindih melibatkan China, Vietnam dan Filipina, justeru kehadiran Malaysia di kawasan itu perlu diteruskan bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.
“Lawatan kerja ini bertujuan meninjau keadaan dan kesiapsiagaan stesen yang terletak di Pulau Layang-Layang. Kehadiran kita di sini adalah untuk mengukuhkan komitmen kerajaan dalam memastikan soal kedaulatan, keselamatan dan perkara berkaitan terus diberi perhatian.
“Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk mempertahankan kawasan ini kerana ia adalah barisan hadapan negara. Kehadiran kita secara berterusan juga membuktikan bahawa ini adalah kawasan kita dan kita akan terus mempertahankannya,” memetik Buletin TV3 online.
Mohamed Khaled berkata, stesen yang dikendalikan TLDM itu berfungsi sebagai pusat operasi utama dalam mempertahankan kedaulatan negara di Gugusan Semarang Peninjau.
Menurutnya, stesen berkenaan memainkan peranan penting dalam melindungi kedaulatan negara selain mengumpul maklumat strategik yang disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Timur.
“Stesen ini juga membantu operasi logistik kapal-kapal TLDM serta agensi penguat kuasa lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya lagi.
Pulau Layang-Layang yang terletak kira-kira 300 kilometer dari pantai Sabah merupakan antara aset strategik negara di Laut China Selatan dan menjadi lokasi penting bagi pemantauan keselamatan serta pertahanan maritim Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















