Jasad wanita dengan tangan, kaki terikat ditemukan terapung di Pengerang
KOTA TINGGI – Satu jasad wanita tanpa identiti ditemukan terapung di Sungai Tanjung Serindit, Ulu Papan, Pengerang, semalam, dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya terikat dengan tali.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dalam satu kenyataan berkata, jasad itu ditemukan orang awam pukul 9 malam tadi.
Pemeriksaan awal mendapati, mangsa dipercayai warga asing kerana tidak mempunyai parut suntikan Bacillus Calmette-Guérin (BCG) pada lengannya.
“Identiti mangsa masih dalam proses dikenal pasti, manakala punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Jasad mangsa dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Yusof turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Noor Azizi Indzam di talian 013-7878771, balai polis berhampiran atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di 07-8831222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















