Letupan IED di Nilai: Polis kenal pasti suspek warga tempatan
NILAI – Polis berjaya mengenal pasti suspek dipercayai terlibat dalam insiden letupan dipercayai akibat bahan letupan buatan sendiri (IED) di Desa Palma, di sini semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak bersendirian tanpa melibatkan mana-mana individu atau kumpulan lain, lapor portal Buletin TV3.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya giat mengesan dan memburu suspek, seorang lelaki tempatan berusia 60-an yang dipercayai melarikan diri.
Suspek juga mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
“Kita telah mengenalpasti satu premis dipercayai kediaman lelaki tersebut dan satu serbuan telah dijalankan ke atas alamat tempat tinggal lelaki ini.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat penemuan beberapa lagi bahan letupan menggunakan kaedah ataupun sistem yang sama di dalam rumahnya,” katanya, hari ini.
Tambahnya, kes ini merupakan kes terpencil dan tidak melibatkan mana-mana aktiviti terorisme atau gerakan keganasan.
“Masyarakat khususnya di kawasan Nilai tidak perlu merasa gusar ataupun takut untuk keluar menjalankan aktiviti harian memandangkan pihak polis mengesahkan bahawa pelaku ataupun suspek ini bertindak secara sendirian.
“Risikan dan juga siasatan kita mendapati suspek ini bertindak tanpa melibatkan mana-mana pihak yang lain,” katanya lagi.
Beliau turut memberitahu, semua IED yang ditemukan sudah dimusnahkan dan pihaknya sedang menyiasat motif kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















