UMNO Seremban umum sokongan penuh kepada calon PN di DUN Sikamat
SEREMBAN – UMNO Bahagian Seremban mengumumkan sokongan penuh kepada calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Razali Abu Samah daripada Parti Wawasan Negara (WAWASAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 kali ini.
Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop berkata, keputusan itu dibuat susulan kerjasama antara Barisan Nasional (BN), PN dan WAWASAN bagi menghadapi PRN kali ini dengan matlamat menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).
“BN mengadakan perjanjian bersama PN melalui Parti Wawasan Negara dan kita menerimanya dengan hati terbuka kerana matlamat kita adalah untuk menumbangkan kerajaan Negeri Sembilan.
“Apabila Datuk Razali Abu Samah dimaklumkan sebagai calon yang dipersetujui kepimpinan WAWASAN, saya bersama kepimpinan UMNO Bahagian Seremban dan DUN Sikamat akan membantu beliau sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon di Sikamat pada 18 Julai lalu.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Seri Md Yusop Harmain Shah serta Presiden WAWASAN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mazalan berkata, pengalaman dan kekuatan jentera UMNO akan digembleng bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu.
Beliau turut mengumumkan bahawa Md Yusop akan mengetuai gerak kerja jentera pilihan raya di DUN Sikamat dengan dibantu kepimpinan cawangan, Pemuda dan Puteri UMNO di kawasan berkenaan.
“Saya serahkan kepada pengalaman beliau untuk memimpin jentera di DUN Sikamat. Ketua-ketua cawangan, Pemuda dan Puteri akan bersama-sama merangka strategi bagi membantu calon kita,” katanya.
Mazalan turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama membabitkan PN, WAWASAN serta pemimpin-pemimpin berpengalaman termasuk Hamzah mampu memberi kelebihan kepada gabungan tersebut.
“Saya yakin gabungan yang ada termasuk Datuk Seri Hamzah dengan pengalaman politiknya akan membantu kita memberikan saingan terbaik. UMNO juga akan membantu sedaya upaya bagi memastikan kemenangan calon,” katanya.
Dalam ucapannya, Mazalan turut mengkritik pentadbiran kerajaan negeri dan mendakwa UMNO Bahagian Seremban berdepan kesukaran mendapatkan kerjasama daripada kepimpinan kerajaan negeri serta wakil rakyat kawasan berkenaan.
Beliau mendakwa keadaan itu menjadi antara faktor UMNO Bahagian Seremban memilih untuk bersama gabungan baharu pada PRN kali ini.
“Jadi itulah, tujuan kita bersama, tak lain dan tak bukan adalah untuk menjatuhkan kerajaan yang ada hari ini yang dah teruk sangat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















