Lelaki maut selepas kereta dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di hadapan Dua Residensi, berhampiran Kedutaan Singapura di Jalan Tun Razak pada pukul 10.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa berusia 43 tahun mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan selain pendarahan dalaman di bahagian dada.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 4 pagi tadi.
“Dalam kejadian itu, sebuah lagi kenderaan yang dinaiki tujuh individu berusia antara dua bulan hingga 57 tahun turut dihempap pokok yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan kedua sedang menerima rawatan di HKL dan pemeriksaan awal mendapati mereka tidak mengalami sebarang kecederaan luaran.
Sazalee berkata, kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selesai kira-kira pukul 12 tengah malam.
Katanya, kedua-dua kenderaan yang terlibat turut ditunda keluar dari Jalan Tun Razak bagi membolehkan aliran trafik kembali lancar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















